Semua pelajar Malaysia yang berada di luar negara dinasihatkan terus kekal di negara terbabit buat masa ini, kata jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jurucakap itu berkata, mereka perlu sentiasa menurut arahan daripada pihak universiti dan pihak berkuasa tempatan di negara pengajian masing-masing, serta mengikuti perkembangan terkini yang sahih berkaitan perkara ini.

“Pertimbangan ini dibuat selepas menilai risiko semasa pergerakan dan penerbangan serta menilai isu-isu logistik berkaitan secara mendalam,” katanya dalam kenyataan itu.

Katanya, bagi pelajar yang berada di dalam kategori rakyat Malaysia yang terkandas, Wisma Putra akan mengadakan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk membawa mereka pulang.

“Agensi berkenaan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan dan semua Perwakilan Malaysia di luar negara,” katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, rakyat Malaysia terkandas merujuk kepada rakyat yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti, atau sebab lain dan mempunyai tiket penerbangan pulang, namun penerbangan itu dibatalkan menyebabkan mereka tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia.

Dalam pada itu, kementerian berkata, sekiranya ada pelajar di luar negara yang masih ingin pulang ke Malaysia, urusan tersebut adalah di bawah tanggungan dan tanggungjawab pelajar sendiri atau keluarga masing-masing.

“Dalam konteks yang sama, mereka harus memaklumkan kepada wakil-wakil Education Malaysia dan kedutaan di negara pengajian mereka,” katanya lagi.

Dalam hal itu, beliau berkata, semua pelajar yang tiba di tanah air adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN, KKM dan NADMA seperti menjalani saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara.

Mereka juga perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan, serta mematuhi arahan selanjutnya yang dikeluarkan oleh KKM.