PUTRAJAYA:Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (RO) bagi Malaysia kini ialah 1.1, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya RO dapat dikurangkan dari 2.2 ketika bermula gelombang ketiga pada 20 Sept lepas kepada 1.1 semalam ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata jika mengikut unjuran 2.2, kes harian dijangka 4,500 namun PKPB di Lembah Klang dan Sabah berjaya menurunkan RO kepada 1.5.

"Kes pada 24 Okt adalah 1,228 dan pada 26 Okt adalah 1,240 kes... melebihi 1.5. Tetapi kalau purata kita lihat sekarang ini kurang 1.5.

"Kita dapati sekarang ini RO telah berkurang kepada 1.1. Ini menunjukkan dalam tempoh dua minggu PKPB dari 14 Okt sehingga sekarang kita dapat menurunkan RO, bererti kebolehjangkitan semakin berkurangan," katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata RO yang kini pada 1.1 masih tidak mencukupi dan semua pihak perlu mempertingkatkan aktiviti untuk menurunkan kadar kebolehjangkitan virus berbahaya itu kepada kurang daripada satu.

Oleh itu, beliau mengingatkan rakyat agar terus memberi kerjasama dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan duduk di rumah jika tiada urusan penting.

Katanya RO kurang daripada satu mampu melandaikan lengkuk kes jangkitan.

Mengenai kematian yang berlaku di luar hospital (BID), Dr Noor Hisham berkata sebanyak 44 kes dilaporkan sehingga semalam dengan sembilan ketika gelombang kedua dan selebihnya semasa gelombang ketiga.

Beliau juga berkata susulan peningkatan kes di Sabah, kementerian kesihatan telah menghantar pakar forensik ke negeri itu berkaitan pengajaran dan pengendalian BID di lapangan mengikut SOP.

Dr Noor Hisham berkata BID berlaku susulan kelewatan hadir ke hospital yang berakhir dengan pesakit meninggal dunia di rumah.

"Kesemua ini adalah antara cabaran yang kita hadapi terutama jika pesakit mempunyai komorbiditi (dua atau lebih penyakit yang dihidapi secara serentak) dan merupakan warga emas.

"Kami dapati kira-kira 80 peratus daripada pesakit kedua-dua kumpulan ini meninggal dunia akibat komplikasi selepas dijangkiti COVID-19," katanya.

-- BERNAMA