KADAR kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan penurunan untuk hari keempat berturut-turut.

Pada Isnin, ia susut kepada 1.14 berbanding 1.15 hari sebelumnya.

Tujuh negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Terengganu mencatat kadar tertinggi dengan 1.30, diikuti Putrajaya, Kedah, Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

Enam negeri lain mencatat kadar di antara 1.15 dan 1.10.

Sarawak dan Labuan mencatat kadar di bawah 1.0, sementara Perlis merekodkan satu kes baharu.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.