KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan majlis berbuka puasa diadakan di hotel, restoran dan dewan sempena Ramadan kali ini dengan syarat-syarat tertentu.

JPBN dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pengusaha hotel, restoran dan dewan yang ingin mengadakan perkhidmatan berbuka puasa wajib memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing sebelum dibenarkan untuk beroperasi.

"Tiada tempahan berbuka berkumpulan daripada agensi kerajaan dan swasta dibenarkan. Hanya kumpulan individu serta ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan dengan melakukan tempahan awal manakala 'walk-in' tidak dibenarkan," menurut JPBN.

Menurut JPBN semasa majlis berbuka puasa berlangsung, pelanggan juga tidak dibenarkan menunggu dalam barisan dan hanya boleh membuat pesanan melalui menu atau makan makanan yang dihidang di meja masing-masing.

"Bilangan pelanggan hanya 50 peratus daripada kapasiti restoran atau maksimum 300 orang untuk dewan atau hotel. Garis panduan terperinci boleh didapati di laman web Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (https://mlgh.sarawak.gov.my)," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, semalam terdapat 296 kes baharu jangkitan COVID-19 dikesan di Sarawak dengan empat kematian baharu.

-- BERNAMA