KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pertambahan 720 kes positif COVID-19 pada Isnin dengan saringan kontak rapat kekal sebagai penyumbang utama.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri itu sebanyak 80,190.

"Sebanyak 331 kes atau 45.97 peratus penyumbang utama jumlah kes hari ini adalah dari saringan kontak rapat, diikuti tambahan kes dari kluster sedia ada dengan 226 kes atau 31.39 peratus.

"Saringan bergejala sebanyak 103 kes atau 14.31 peratus dari kumulatif kes harian negeri Sabah, namun tiada kluster baharu dikesan hari ini," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelas beliau, bagi kes yang berpunca daripada saringan kontak rapat pula, Kota Kinabalu merupakan penyumbang angka tertinggi dengan 69 daripada keseluruhan kes.

"Sejumlah 83.6 peratus daripada kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

"Kategori 1, iaitu 255 kes, adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2, iaitu sebanyak 347 kes, sekadar mengalami simptom ringan (mild)," ujarnya.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri itu berkata, tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (151 kes), Kalabakan (116 kes) dan Tawau (72 kes).