KUALA LUMPUR : Sarawak pada Sabtu melaporkan pertambahan satu kes kematian baharu melibatkan lelaki warga tempatan berusia 77 tahun.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes kematian tersebut dicatatkan di Sibu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 81 orang.

“Kes kematian ke-81 merupakan lelaki tempatan yang mendapat rawatan di Hospital Sibu.

"Kes didapati positif pada 13 Februari 2021 dan disahkan meninggal dunia hari ini berikutan keadaan kesihatan merosot,” petik laporan tersebut.

Ujar JPBN Sarawak, kes ini mempunyai kaitan dengan Kluster Geronggang di Sibu.



 
Dalam perkembangan yang sama, Sarawak turut menyaksikan kewujudan satu kluster baharu dikenali sebagai Kluster Buloh di Selangau.

"Kluster ini merupakan kluster komuniti melibatkan tiga buah rumah panjang di kawasan Sungai Buloh di daerah Selangau.

"Indeks kes kepada kluster ini merupakan seorang wanita berumur 32 tahun warga tempatan yang telah dikesan melalui saringan bergejala pada 21 Februari 2021," jelasnya menerusi kenyataan sama.

Kes indeks tersebut telah mengalami tanda dan gejala sejak 17 Februari 2021, tambah JPBN Sarawak lagi. Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak rapat kepada kes ini, terdapat penambahan 27 kes baharu yang dikesan.

"Sejumlah 68 individu telah disaring, yang mana, 28 kes telah dikesan positif. Manakala, 36 individu negatif dan empat individu masih menunggu keputusan," lapor JPBN Sarawak.

Sementara itu, Sarawak pada hari ini mencatatkan 225 kes positif baharu. Pertambahan ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 9,374 kes.

Antara lain, jumlah keseluruhan kes positif yang telah pulih dan dibenarkan discaj pula bertambah kepada 6,862 orang atau 73.20 peratus dari jumlah keseluruhan kes di Sarawak.

Turut dimaklumkan lima daerah di negeri itu telah bertukar status.

"Betong dan kanowit bertukar ke status merah setelah masing-masing merekodkan 46 dan 45 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

"Selangau pula kini berstatus jingga setelah merekodkan 40 kes jangkitan tempatan dalam tempoh sama," jelas kenyataan itu.

Selain itu, setelah dua kes jangkitan tempatan yang dikesan di Pusa, daerah berkenaan kini  berstatus kuning, begitu juga daerah Song yang merekodkan 17 kes dalam tempoh 14 hari lepas.