KOTA BHARU:Pasangan suami isteri Orang Asli dari Pos Tohoi, Gua Musang yang melarikan diri serta meninggalkan bayi berusia 25 hari yang disahkan positif COVID-19, berjaya ditahan petang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata pasangan berkenaan ditahan oleh anggota polis dari Balai Polis Laloh sekitar jam 5.30 petang di sebuah pondok sekitar Kampung Sungai Sam, Kuala Krai.

Ibu bayi berkenaan dikenali sebagai Elina Aling, 33, dan suaminya memberikan kerjasama baik semasa ditahan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

"Kita menerima laporan kehilangan pasangan berkenaan pada 5 Februari, sebelum menerima maklumat daripada Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) bahawa pasangan berkenaan berada di Kampung Sungai Sam," katanya dalam satu kenyataan.

"Pasangan Orang Asli tersebut telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dan KKM untuk dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai bagi menjalani ujian saringan COVID-19 seterusnya menjalani kuarantin sehingga keputusan COVID-19 diperolehi," katanya.

Menurut Shafien lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan.

Semalam media melaporkan polis menjejaki pasangan suami isteri berkenaan yang dipercayai positif COVID-19 selepas mereka melarikan diri dari Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Pasangan tersebut turut meninggalkan bayi berusia 25 hari di HSIP yang disahkan positif COVID-19.