KUALA LUMPUR: Angka kematian akibat jangkitan COVID-19 terus mencatatkan penurunan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan hanya tiga kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan sebanyak 35,567 orang, daripada 4.4 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tiada kematian berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Sementara itu, terdapat 28,777 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 27,361 individu atau 95.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 14 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 1,328 kes dirawat di hospital dan 74 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 33 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 41 lagi memerlukan mesin ventilator.