KUALA LUMPUR :Setelah lebih sebulan cuti berehat selepas menjalani pembedahan kecil sejak 17 November lalu, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kembali mempengerusikan sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Beliau yang merangkap Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan pengerusi jawatankuasa tersebut memaklumkan bahawa sidang media itu akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lama di Kuching pada jam 5 petang Selasa.

Sudah semestinya, sidang media JPBN Sarawak kali ini amat dinanti oleh rakyat negeri itu yang ingin mengetahui perkembangan terkini COVID-19, selain sekiranya terdapat keputusan baharu berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta tatacara kemasukan ke negeri tersebut bersempena dengan perayaan Krismas dan tahun baharu.

BACA: COVID-19: Ini tatacara baharu masuk ke Sarawak bermula hari ini

Ini termasuk keputusan yang memperhalusi kebenaran pengoperasian sektor ekonomi di negeri berkenaan.

Terdahulu, sepanjang cuti rehatnya, Uggah memaklumkan bahawa Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing memangku tugas beliau sebagai Pengerusi JPBNS untuk mengetuai mesyuarat harian jawatankuasa tersebut.

Beliau dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuching bagi menjalani pembedahan kecil untuk membuka saluran arteri jantung pada November lalu. 

BACA: Uggah selamat jalani pembedahan kecil, bercuti rehat sebulan