KUALA LUMPUR:Malaysia mencatatkan sebanyak 1,096 kes baharu pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 adalah sebanyak 54,775 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes baharu ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 12,843 kes.

Daripada jumlah kes tesebut, Selangor masih mencatat penularan tertinggi dengan 603 kes, diikuti Sabah dengan 311 kes dan Perak (55 kes).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, Malaysia turut mencatatkan sebanyak 1,104 kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah sebanyak 41,597 kes.

"Sehingga kini, terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 46 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 335 kes (0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tiga kluster baru dikenal pasti iaitu Kluster Pengkalan Barat melibatkan daerah Barat Daya di Pulau Pinang serta daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di negeri Perak.

Kluster Bakti pula melibatkan sebuah penjara dalam daerah Seremban di Negeri Sembilan manakala Kluster Bayam Indah melibatkan  daerah Kulim dan Kuala Muda di negeri Kedah.

Dr Noor Hisham memaklumkan, jumlah kluster tamat adalah sebanyak 163 kluster dengan empat kluster yang tamat pada Ahad iaitu Kluster Kasih, Kluster Baiduri, Kluster Long dan Kluster Bestari.

"Ini menjadikan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes," katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (504 kes), Kluster Tembok (42 kes), dan Kluster Kaya (20 kes).