KUALA LUMPUR:Penularan pandemik COVID-19 di Malaysia dalam tempoh 24 jam lalu mencatat 1,220 kes baharu.

Daripada jumlah kes baharu tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan enam  kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,214 kes.

Dalam perkembangan sama, negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 368 kes (30.2 peratus).

Menurut KKM, daripada jumlah ini, sebanyak 247 kes (67.1 peratus) adalah dari kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula melaporkan sebanyak 297 kes (24.3 peratus) dan negeri Sabah sebanyak 184 kes (15.1 peratus).

Ini sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 89,133 kes sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 14,671 kes.

"Sehingga kini, terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan," kata KKM dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

KKM juga memaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian COVID-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 432 kes (0.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, pada hari ini juga bilangan kes sembuh yang direkodkan ialah sebanyak 1,297 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID19 adalah sebanyak 74,030 kes (83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ikuti perkembangan terkini COVID-19 di sini