KUALA LUMPUR:Malaysia merekodkan 1,371 kes harian baharu hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 84,846 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, 1,370 kes adalah penularan COVID-19 dalam negara, dan satu kes mendapat jangkitan dari luar negara.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah sebanyak 13,830 kes.

"Selangor masih kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 532 kes (38.8 peratus) di mana 420 kes (78.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 283 kes (20.6 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 260 kes
(19.0 peratus). 

"Sebanyak 72 kes (5.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (48 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (22 kes), Kluster Matambai (satu kes), dan Kluster Penjara Kepayan (satu kes)," katanya dalam sidang media pada Isnin. 

Dalam pada itu, bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,204 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID19 adalah 70,597 kes (83.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat 114 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu,  katanya terdapat pertambahan empat kes kematian COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah
kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 419 kes (0.49 peratus).

Sementara itu, dua kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

1. Kluster Solar Ria 

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Sepang, Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor. 

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-73,366) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Disember melalui saringan sebelum pulang ke negara asal.

Sehingga 14 Disember, sejumlah 2,339 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster ini melibatkan sembilan warganegara dan 16 bukan warganegara.

2. Kluster Senu Setia

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-83,123) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 13 Disember melalui saringan sebelum pulang ke negara asal.

Sehingga 14 Disember, sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19.

Kesemua kes dalam kluster ini merupakan bukan warganegara.