KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 15,549 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Sarawak merekodkan kes harian tertinggi iaitu 2,929 kes.

Ia diikuti Johor (2,208), Selangor (1,995), Sabah (1,395) dan Pulau Pinang (1,375).

Kes kumulatif di Kelantan pula kini merekodkan lebih 100,000 kes apabila merekodkan 1,214 kes jangkitan baharu hari ini.

Berikut pecahan bagi setiap negeri:

Pecahan kes baharu COVID-19 mengikut negeri bagi 18 September 2021.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan, tahap penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara sehingga jam 5 petang semalam adalah sebanyak 76 peratus.

Manakala penggunaan katil bukan ICU untuk tempoh sama adalah sebanyak 68 peratus.

Mengulas berkenaan pemberian dos vaksin COVID-19 sehingga 11.59 malam, 17 September 2021, Dr Noor Hisham memaklumkan 66.9 peratus populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos.

"55.5 peratus populasi keseluruhan bersamaan 77.5 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksin.

"Populasi dewasa yang telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin adalah 92.9 peratus," katanya menerusi perkongsian di media sosial.


Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, daripada 15,549 kes harian yang dilaporkan hari ini, 263 kes bersamaan (1.69 peratus) adalah dari kategori 3, 4, dan 5.

"15,286 kes (98.31 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya dalam kenyataan media harian situasi semasa COVID-19.

Berkait kes yang memerlukan rawatan di ICU, sejumlah 1,165 kes sedang dirawat dengan 277 daripadanya disyaki kemungkinan dan kes dalam siasatan.

"Kes yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 689 kes. 401 kes disahkan COVID-19 manakala 288 lagi mrupakan kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan," katanya.

Kes sembuh yang dilaporkan hari ini adalah 17,205 kes bersamaan 88.4 peratus daripada kes keseluruhan.