KUALA LUMPUR:Sebanyak 1,683 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 90,816 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, bilangan kes sembuh pula ialah sebanyak 1,214 dengan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 75,244 kes.

"Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 15,140 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan (8) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,675 kes," katanya.

Menurutnya, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 692 kes (41.1 peratus). 

Ia diikuti oleh Sabah yang melaporkan sebanyak 260 kes (15.4 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 197 kes (11.7 peratus).

"Sehingga kini, terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Ingin dimaklumkan, tiada pertambahan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 432 kes (0.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya lagi.

Selain itu, KKM turut memaklumkan terdapat enam kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.