KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 1,854 jangkitan baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kini mencecah sebanyak 357,607.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20 kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara.

Sementara Sarawak merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 555 kes diikuti Selangor (403 kes) dan Pulau Pinang (176 kes).

"Peningkatan kes di Sarawak adalah disebabkan oleh pertambahan kluster-kluster di kalangan komuniti termasuklah rumah-rumah panjang.

"Faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes adalah acara-acara keramaian dan aktiviti-aktiviti sosial seperti upacara pengebumian, perkahwinan, dan lain-lain acara keraian," kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan hariannya.

Dalam perkembangan sama, terdapat pertambahan lima kematian baharu menjadikan jumlah kumulatif korban akibat sebanyak 1,313 kes.

Sebanyak 1,247 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 341,489.

Manakala 169 pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 79 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.