COVID-19: 2,331 jangkitan baharu, Selangor dan Kuala Lumpur rekod 1,003 kes

Hilmi Malik
April 17, 2021 09:29 MYT
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan 751 kes menjadikan negeri tertinggi diikuti Sarawak (512) dan Kuala Lumpur (252). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara terus mencecah empat angka dengan jumlah kes positif yang dilaporkan dalam tempoh 24 ialah sebanyak 2,331 kes,
Jumlah berkenaan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini ialah sebanyak 372,859 kes.
Daripada jumlah berkenaan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan 751 kes menjadikan negeri tertinggi diikuti Sarawak (512) dan Kuala Lumpur (252).
Jangkitan-jangkitan baharu di negeri-negeri pula 225 kes di Kelantan, Sabah (163), Pulau Pinang (116), Johor (100), Negeri Sembilan (89), Kedah (45), Perak (42) dan Pahang (20).
Sementara Melaka mencatat sembilan kes, Putrajaya (empat), Labuan (dua) dan Perlis (satu) manakala tiada kes baharu di Terengganu dalam tempoh 24 jam lalu.
Dr Noor Hisham turut memberitahu, berdasarkan kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 12 kes import menerima jangkitan dari luar negara.
“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 telah menjadi sebanyak 19,094 kes,” kata beliau pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat pertambahan sebanyak lima kes kematian baharu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 1,370 kes.
Setakat ini, sebanyak 225 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 92 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Jumlah keseluruhan kes sembuh kini telah meningkat sebanyak 1,832 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh hari ini sebanyak 352,395 kes.
#COVID-19 #Malaysia #jangkitan baharu #selangor tertinggi #Kuala Lumpur #Dr Noor Hisham Abdullah