PUTRAJAYA:Malaysia merekodkan 287 kes baharu positif COVID-19 setakat jam 12 tengah hari pada Jumaat sekali gus merupakan jumlah tertinggi pernah dicatatkan di negara ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua kes tersebut merupakan  penularan tempatan, tiada langsung kes import.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 11,771 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,540 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Menurut beliau, negeri Kedah merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 129 kes diikuti Sabah, 113 kes dan Selangor dengan 31 kes.


“Daripada 287 kes hari ini, sebanyak 20 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah.

“Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 139 kes,” kata beliau.

COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)


Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

Sabah: 113 kes
• 52 kes saringan bergejala;
• 35 kes daripada Kluster Benteng LD;
• 15 kes daripada Kluster Bangau-Bangau;
• Dua kes saringan rujukan ke hospital;
• Dua kes saringan kemasukan ke hospital;
• Satu kes daripada Kluster Laut;
• Satu kes daripada Kluster Pulau;
• Satu kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI);
• Satu kes saringan petugas kesihatan;
• Satu kes saringan warga emas di Klinik Kesihatan Tuaran;
• Satu kes saringan sebelum pulang ke Semenanjung; dan
• Satu kes saringan komuniti di Lahad Datu.

Kedah: 129 kes
• 128 kes daripada Kluster Tembok; dan
• Satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11471.

Selangor: 31 kes
• 13 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah);
• Lapan kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Seri Anggerik;
• Tiga kes daripada Kluster Jalan Meru;
• Dua kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11143 dan kes ke-10695;
• Satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Seri Setia;
• Satu kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI);
• Satu kes saringan tahanan;
• Satu kes saringan sebelum ke luar negara; dan
• Satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal.

Perak: Tiga kes
• Dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah); dan
• Satu kes daripada Kluster Tembok.

Terengganu: Tiga kes
• Dua saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11477; dan
• Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Negeri Sembilan: Dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Kelantan: Dua kes
• Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah); dan
• Satu kes daripada Kluster Jalan Meru.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal.

Johor: Satu kes daripada Kluster Jalan Meru.

Pahang: Satu kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11200.

Wilayah Persekutuan Labuan: Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat 81 kes telah pulih sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 10,095 kes (85.8 peratus).

Dalam masa sama, terdapat 22 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, tiada pertambahan kematian direkodkan hari ini, justeru jumlah kematian kekal 136 kes.