MALAYSIA

COVID-19: 29 lagi kematian baharu, keseluruhan 30,309

Astro Awani 28/11/2021 | 22:28 MYT
6 daripada 29 kes kematian yang dilaporkan itu berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID). - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 29 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,309 orang daripada lebih 2.61 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 6 daripada 29 kes kematian yang dilaporkan itu berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 66,455 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 54,695 individu atau 82.3 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 6,550 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 4,699 kes dirawat di hospital dan 511 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 250 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 261 lagi memerlukan mesin ventilator.




#COVID-19 #COVIDNOW #KKM #kes kematian