KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 36 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan COVID-19 kepada 28,912 kes.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, sejumlah tujuh daripada 36 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses yang mengambil masa bagi mengesahkan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut.

Sementara itu, terdapat 67,969 kes aktif COVID-19 di seluruh negara yang mana 52,720 individu atau 78.6 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 8,735 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 5,952 kes dirawat di hospital dan 562 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 236 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 326 lagi memerlukan mesin ventilator.