PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kepada lima aspek utama bagi pembekalan vaksin di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, lima aspek yang lebih dikenali sebagai 5P itu merangkumi pendaftaran, pembekalan, pemberian (agihan), pemantauan dan penilaian khusus bagi keperluan rakyat di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata, faktor 5P tersebut akan menjadi penentu bagi melihat kepada kesesuaian vaksin yang diterima serta memastikan vaksin itu berkesan dan selamat untuk digunakan.

Menurut beliau, vaksin tersebut perlulah didaftarkan dan kedua, adalah aspek pembekalan yang meliputi pelbagai perkara termasuk logistik, kaedah penyimpanan sehingga ia sampai di tangan pengguna.

“Seterusnya adalah aspek pemberian di mana KKM akan menumpukan kepada golongan yang lebih berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan dan warga emas yang lebih memerlukan vaksin berkenaan.

"Aspek pemantauan akan turut dilihat bagi mengenal pasti sama ada terdapat kesan sampingan bagi individu yang menggunakannya nanti," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini penularan COVID-19 di Malaysia pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, aspek yang terakhir ialah penilaian keseluruhan vaksinasi antaranya melihat sama ada ia memenuhi objektif untuk mencapai imuniti kelompok.

"Inilah konsep yang kita pakai, supaya negara tidak ketinggalan. Misalnya, jika ada vaksin yang didaftarkan di bawah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), berkemungkinan permintaannya juga akan meningkat.

"Kita mungkin akan ketinggalan jika tidak mulakan langkah proaktif bagi mendapatkan vaksin dan apa yang lebih penting, vaksin ini mestilah selamat digunakan," katanya lagi.