COVID-19: Ahli Parlimen terima dos penggalak, KKM pergiat vaksinasi

Harits Asyraf Hasnan
November 2, 2021 04:03 MYT
Antara anggota Kabinet dan Ahli Dewan Rakyat yang menerima suntikan pagi ini adalah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempergiat proses vaksinasi dos penggalak COVID-19.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya kini sedang menjadualkan janji temu kepada individu yang layak.
"Majoriti janji temu akan ditetapkan di klinik swasta.
"Kes mungkin berkurangan, tetapi kemasukan ke hospital meningkat di beberapa negeri," katanya menerusi ciapan di Twitter.

MPs getting their booster jabs in @MYParlimen. @KKMPutrajaya is pushing out more booster appointments to eligible recipients. Most appointments will be at GP clinics. Cases maybe falling but hospitalisation is increasing in some states. Take the booster. #LindungDiriLindungSemua pic.twitter.com/gDIQYCkiPn

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) November 2, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Beliau sebelum itu melakukan tinjauan proses vaksinasi dos penggalak melibatkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat di Dewan Bankuet, Kompleks Parlimen.
KKM hari ini memberikan dos penggalak Pfizer bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 4 petang di Dewan Bankuet di Bangunan Parlimen.
Berdasarkan tinjauan, rata-rata Ahli Parlimen mula menunggu giliran masing-masing seawal jam 9.20 pagi.
Antara anggota Kabinet dan Ahli Dewan Rakyat yang menerima suntikan pagi ini adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun; Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) dan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai).
Azhar ketika ditemui pemberita berkata, pemberian dos penggalak di Bangunan Parlimen itu bagi memastikan tahap keselamatan semua Ahli Parlimen berada pada tahap optimum.
Ini kerana, mereka sering berjumpa rakyat dan pulang ke kawasan masing-masing khususnya ketika musim banjir.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KKM kerana menyediakan dos penggalak kepada semua Ahli Parlimen,” katanya.
Pemberian dos penggalak bermula di seluruh negara 13 Okt lepas untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum, khususnya terhadap jangkitan varian Delta.
#Dewan Rakyat #dos penggalak #COVID-19 #Khairy Jamaluddin