Bayi perempuan berusia setahun antara korban terbaharu COVID-19

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 6, 2020 10:33 MYT
Bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang selepas kesihatannnya merosot.
KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan warga tempatan berusia setahun merupakan salah seorang daripada empat jumlah korban terbaharu akibat COVID -19 yang direkodkan pada Selasa.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noo Hisham Abdullah, kes kematian ke-140 itu telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu.
“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang”, kata Dr Noor Hisham dalam sidang media hari ini.
Selain itu, beliau turut memberitahu, kematian ke-138 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September lalu.
Saringan COVID-19, kata beliau, didapati positif pada 26 September 2020.
“Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi”, katanya lagi.
Manakala kes kematian ke-139 pula, kata Dr Noor Hisham, merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September 2020.
Menurut Dr Noor Hisham, ujian saringan COVID-19 ke atas mangsa berkenaan didapati positif pada 30 September lalu dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober pukul 5.05 pagi.
Kes kematian ke-141 pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental.
Mangsa ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober pukul 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang.
"Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 September 2020 jam 7.50 pagi. Saringan COVID-19 dikesan positif," jelasnya lagi.
BACA: COVID-19: 691 kes baharu dilaporkan, majoriti di Penjara Alor Setar
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)
#bayi perempuan korban terbaharu #COVID19 #bayi berusia setahun #bayi meninggal dunia #Dr Noor Hisham Abdullah #Sabah #kematian