KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kes pertama individu yang dijangkiti varian Nigeria SAR-CoV-2, juga dikenali sebagai B1.525.

Kedua-duanya melibatkan warga asing yang tiba dari Dubai, UAE dan didapati positif COVID-19 melalui ujian swab RT-PCR, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

"Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudiannya melakukan penjujukan genom penuh mengambilkira sejarah perjalanan mereka.

"Analisis lanjut menunjukkan wujud semua mutasi yang dilaporkan berkait dengan varian tersebut.

"Ini termasuk mutasi 'spike protein' E484K, Q677H, F888L dan rangkaian 'protein deletions' serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7.

"Mutasi 'spike protein' E484K sangat membimbangkan kerana ia dilaporkan mampu mengelak sistem ketahanan badan," katanya dalam hantaran di laman Facebook. 

Dr Noor Hisham berkata, varian Nigeria itu pertama kali dikesan di United Kingdom dan Nigeria pada Disember 2020.

Ia juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imuniti.

Tambah beliau, KKM melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau mutasi Nigeria B1.525 ini dan memaklumkan perkembangannya kepada masyarakat umum.

"Walaupun program vaksinasi sedang dilaksanakan, langkah-langkah kesihatan awam masih perlu diamalkan kerana imuniti kelompok masih belum dicapai," katanya lagi.

Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.