COVID-19: Hanya 1.6 peratus kes baharu kategori 3, 4, dan 5 - Dr Noor Hisham

Firdaus Azil
September 19, 2021 11:19 MYT
Daripada 14,954 jumlah jangkitan baharu COVID-19 hari ini, sebanyak 243 kes atau 1.6 peratus terdiri daripada pesakit kategori 3, 4, dan 5. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jumlah jangkitan baharu harian COVID-19 di negara ini terus menurun iaitu 14,954 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu sementara pesakit yang sembuh pula seramai 23,469 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hariannya berkata, daripada jumlah jangkitan baharu itu sebanyak 243 kes atau 1.6 peratus terdiri daripada pesakit kategori 3, 4, dan 5.
Sementara jumlah kes sembuh harian pula sebanyak 23,469 meningkatkan peratusan kes kumulatif sembuh kepada 88.9 peratus.

Kenyataan Akhbar KPK 19 September 2021 Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia https://t.co/rP0784Vuc1

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) September 19, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dr Noor Hisham berkata, Sarawak terus menjadi negeri dengan jangkitan baharu tertinggi, iaitu sebanyak 2,707 kes, diikuti Selangor (2,028), Johor (1948), Kelantan (1,420), Sabah (1,356), Pulau Pinang (1,259) dan Perak (1,222).
Negeri-negeri lain yang mencatat kes baharu di bawah 1,000 ialah Kedah (809), Pahang (705), Terengganu (671), Kuala Lumpur (383), Melaka (207), dan Negeri Sembilan (144).
Sementara itu, Perlis mencatat 76 kes baharu diikuti Putrajaya (19) manakala Labuan tiada sebarang kes baharu.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 5 petang Sabtu, jumlah penggunaan katil COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 72 peratus, manakala penggunaan katil bukan ICU pula sebanyak 67 peratus.
Sehingga tengah malam Sabtu, 67.2 peratus populasi keseluruhan di negara ini telah menerima satu dos vaksin COVID-19, manakala 56 peratus populasi keseluruhan lengkap kedua-dua dos vaksin.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, 93.1 peratus populasi dewasa telah menerima satu dos, manakala 78.2 peratus populasi dewasa lengkap kedua-dua dos vaksin COVID-19.
#Kes baharu COVID-19 #KP Kesihatan #Dr Noor Hisham Abdullah #KKM