Indonesia mencatatkan 3,507 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes positif keseluruhan di republik itu kini 225,030 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id, hari ini, sebanyak 99,634 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 124 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif kini 8,965 orang.

Provinsi Jakarta, yang kembali dikuatkuasakan peraturan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu bermula semalam, masih mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 56,175 kes, dengan tambahan 1,076 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,832 orang, diikuti Jakarta (1,450), Jawa Tengah (1,165), Kalimantan Selatan (390), Sulawesi Selatan (383) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA