COVID-19: Kemasukan ke hospital di Lembah Klang, Sarawak meningkat - KJ

Afiezy Azaman
Oktober 21, 2021 04:12 MYT
Data pada Khamis itu menunjukkan peningkatan kemasukan ke hospital sebanyak 23 peratus di Selangor, 12 peratus di Kuala Lumpur dan 5 peratus di Putrajaya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kadar kemasukan ke hospital akibat COVID-19 di Lembah Klang dan Sarawak meningkat sejak tujuh hari terakhir ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, data dari portal COVIDNOW menunjukkan peningkatan 22 peratus di Lembah Klang dan 16 peratus di Sarawak.
Susulan perkembangan itu, jelasnya, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan analisis dan pengawasan.
Data pada Khamis itu turut menunjukkan peningkatan 23 peratus di Selangor, 12 peratus di Kuala Lumpur dan 5 peratus di Putrajaya.
Pada Rabu, Malaysia mencatatkan 5,516 kes COVID-19 baru, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di negara ini sebanyak 2,407,382.
COVID-19 | Kadar kemasukan ke hospital meningkat
#kemasukan ke hospital #Khairy Jamaluddin #COVID-19 #jangkitan