TASEK GELUGOR: Keputusan pembukaan semula sesi persekolahan bagi sekolah menengah bermula minggu depan dibuat selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpuas hati dengan analisis risiko situasi COVID-19 yang dibuat Pusat Kesihatan Daerah (PKD) di setiap negeri.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata pihaknya yakin dengan kepakaran PKD dan sebarang keputusan mengenai pembukaan sesi persekolahan dibuat selepas kajian tertentu dilakukan, termasuk menganalisis data kes COVID-19 di seluruh negara.

KPM mengambil kira nasihat diberikan PKD sebelum mengambil sebarang tindakan sama ada perlu menutup kelas sahaja, bangunan sahaja atau keseluruhan sekolah jika terdapat kes jangkitan COVID-19.

"PKD tahu apa yang berlaku. Analisis risiko yang mereka buat, dan daripada situ, kita ambil tindakan yang sewajarnya dari sudut operasi.

"Kita akan lihat sama ada (sekolah) boleh beroperasi ataupun tidak sekiranya, katakanlah cikgu-cikgu dah dikuarantin terlalu ramai, maka nak beroperasi pun murid datang cikgu tak ada.

"Dalam konteks tersebut, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) yang akan melihat sama ada boleh diteruskan operasi atau kita tangguh dahulu," kata Mohd Radzi.

Mohd Radzi berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Gelugor dan Penyerahan Wang Penyelenggaraan Kepada Sekolah Dalam Parlimen Tasek Gelugor pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

SMK Tasek Gelugor yang mula dibina pada 2015 membabitkan kos RM28 juta itu akan mula beroperasi Isnin ini.

Mohd Radzi turut menyerahkan wang peruntukan penyelenggaraan antara RM20,000 hingga RM100,000 setiap sekolah kepada 31 buah sekolah dalam Parlimen Tasek Gelugor.

Beliau turut meminta semua pihak memberi kerjasama bagi memastikan sesi persekolahan bagi sekolah menengah berjalan lancar seperti mana sekolah rendah yang bermula awal Mac lalu.

Dalam pada itu, semua guru diminta mendaftar segera bagi membolehkan mereka mengikuti program vaksinisasi berikutan mereka merupakan antara barisan hadapan dalam sektor pendidikan.