COVID-19: Malaysia bakal terima 1 juta dos vaksin sumbangan UAE - Hishammuddin

Astro Awani
Ogos 14, 2021 02:16 MYT
HISHAMMUDDIN: Malaysia dan UAE kekal komited untuk mengukuhkan hubungan bilateral, berdasarkan asas yang dibina dari nilai saksama dan tradisi antara dua negara, demi kepentingan rakyat bersama. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memperoleh tambahan satu juta dos vaksin secara percuma, hasil sumbangan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, UAE sebelum ini telah menyumbang 20,000 kit ujian RT-PCR pada Mac 2020, dan 7 tan cecair sanitasi tangan khusus untuk Wisma Putra yang telah diagihkan kepada barisan hadapan diplomatik di Malaysia dan di luar negara.
Sumbangan itu, kata Hishammuddin lagi, bakal memberi nilai tambah dalam usaha kerajaan Malaysia menangani COVID-19, serta meningkatkan lagi kadar vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Sumbangan terbaharu ini, disekalikan dengan kerjasama berterusan antara dua negara dalam bidang berlainan termasuk perkongsian maklumat, yang menggambarkan hubungan yang erat seperti Malaysia dan UAE.
“Malaysia dan UAE kekal komited untuk mengukuhkan hubungan bilateral, berdasarkan asas yang dibina dari nilai saksama dan tradisi antara dua negara, demi kepentingan rakyat bersama,” katanya lagi.

Alhamdulillah, Malaysia bakal peroleh 1 JUTA DOS VAKSIN secara percuma sumbangan Emiriah Arab Bersatu Tahun lepas kita juga terima lebih 7 tan peralatan perubatan dari UAE. Terima kasih rakan sejawat, Yang Mulia @ABZayed & kepimpinan Kerajaan UAE atas keprihatinan! pic.twitter.com/VsljWqILWT

— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O) August 14, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Hishammuddin, berkata, beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, menzahirkan ucapan penghargaan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan, Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah Zayed Al-Nahyan dan seluruh kepimpinan UAE atas sumbangan tersebut.
#Hishammuddin Hussein #Menteri Kanan Luar Negeri #sumbangan vaksin #Wisma Putra #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Yang di-Pertuan Agong #COVID-19 #Diplomatic #rakyat Malaysia #PICK #UAE