COVID-19: MERCY Malaysia sedia lakukan intervensi secara optimum di Sabah

Astro Awani
Oktober 18, 2020 09:23 MYT
Dr Anbarasu berkata, Mercy Malaysia telah membelanjakan hampir RM3 juta untuk operasi berkaitan COVID-19. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) bersiap sedia bagi melakukan intervensi secara optimum termasuk membantu petugas barisan hadapan menangani kes COVID-19 di hospital di Sabah.
Pengerusi MERCY Malaysia Sabah, Dr Anbarasu Ramalingam berkata, ia adalah sebahagian persediaan menghadapi kemungkinan pertambahan kes COVID-19 di negeri berkenaan.
"Buat buat masa, kita ada juga sukarelawan yang membuat saringan di kawasan-kawasan tertentu bagi menyokong sistem yang sedia ada supaya saringan dapat dibuat lebih komprehensif," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Anbarasu berkata, kerjasama bersama Kementerian Kesihatan (KKM) telah dimulakan sejak Mac lalu termasuk membantu petugas kesihatan melakukan saringan COVID-19.
"Misalnya di Lahad Datu, kita membantu membuat saringan untuk orang awam," katanya sambil memberitahu sebahagian sukarelawan MERCY Malaysia terdiri daripada kakitangan KKM.
Dalam pada itu, beliau berkata, MERCY Malaysia setakat ini, telah membelanjakan hampir RM3 juta untuk operasi berkaitan COVID-19.
Justeru, katanya orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh melayari laman Facebook MERCY Malaysia atau menyalurkan terus ke akaun Maybank Islamic MERCY Malaysia (5642 5858 7606) dengan memasukkan kod rujukan 'Wakaf Covid19'.
#MERCY #COVID-19 #bantuan #sukarelawan #frontliners #petugas barisan hadapan #Sabah #membantu #mercy malaysia