Virus COVID-19 bagi lima kluster di negara ini, melibatkan Kluster Benteng LD, Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Sungai dan Kluster Bukit Tiram didapati jenis mutasi D614G, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam satu catatan terkini di laman Facebook rasminya berkata, keputusan itu diperoleh daripada makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) hari ini.

"IMR menjalankan ujian penjujukan genom ke atas 32 virus COVID-19 yang dikesan hasil ujian pengasingan dan kultur virus COVID-19 bagi Kluster Benteng LD (23 virus), Kluster PUI Sivagangga (4 virus), Kluster Tawar (3 virus), Kluster Sungai (1 virus) dan Kluster Bukit Tiram (1 virus).

"Seperti disyaki terdapat mutasi jenis D614G yang telah dikesan kepada kesemua 32 virus COVID-19 ini," katanya.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, terdapat kewujudan mutasi D614G virus COVID-19 yang didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu 'super spreader' dalam Kluster Sivagangga.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kajian susulan dijalankan bagi mengkaji kaitan genetik antara virus yang diasingkan ini dan membandingkan ia dengan dengan virus yang dikesan sebelum ini pada Kluster Sivagangga dan Kluster Tawar.

Menurutnya, sebagai mana yang disyaki, kesemua virus yang diasingkan bagi kluster di Kedah (Kluster Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sungai) adalah saling berkait dan besar kemungkinan berasal daripada sumber virus yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua 23 virus COVID-19 dari Kluster Benteng LD pula didapati saling menyerupai namun tidak berkait dengan virus wabak itu yang dijumpai di Kedah, walaupun kesemuanya mempunyai mutasi D614G.

Beliau juga berkata, ujian itu adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji lebih lanjut kebarangkalian dan semakan dengan kumpulan keluarga virus COVID-19 (Phylogenetic tree).

Justeru, Dr Noor Hisham mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dan berhati-hati kerana mutasi D614G itu didapati lebih mudah merebak dan menjangkiti individu lain.

"Amalkan sepenuhnya SOP yang ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat. Dapatkan bantuan kesihatan sekiranya bergejala," katanya. - BERNAMA