Memadam hantaran berita palsu mengenai COVID-19 di media sosial dan kemudian memohon maaf, tidak akan melepaskan anda dari dikenakan tindakan.

Itu peringatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada orang ramai, kerana masih terdapat individu tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu, di kala barisan hadapan bertungkus-lumus memerangi pandemik itu.

"Saya ingin memberi peringatan kepada mereka yang telah memuat naik berita palsu dan memadam hantarannya, selepas tular.

"Kita dengar baru-baru ini ada seorang individu yang mengeluarkan berita palsu, selepas itu memadamkan dan meminta maaf, tapi saya difahamkan pihak polis (tetap) juga memanggil individu tersebut untuk disoal siasat," katanya pada sidang media mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.


Kata Ismail Sabri, pihak polis akan meneruskan tindakan tidak kira sama ada berita palsu di muat naik melalui media sosial, portal media dan sebagainya.

"Jika perkara ini berlaku pihak polis tidak akan berkompromi. Sekali lagi saya mohon tolong jangan lakukan perkara yang boleh menyusahkan diri sendiri, dan akhirnya akan ditanggung oleh diri sendiri," tegasnya.

Ismail Sabri berkata, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), telah membuka sebanyak 217 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu COVID-19.

Katanya, ini termasuk sebanyak 162 masih dalam siasatan, manakala 23 sudah dituduh di mahkamah, dengan empat telah mengaku salah.

Mengulas mengenai perkara lain, beliau berkata walaupun dasar Malaysia adalah tidak menyekat rakyatnya yang berada di luar negara untuk pulang, namun kerajaan sentiasa memastikan bilangan mereka yang ingin pulang, masih dalam bilangan yang boleh diuruskan kerajaan.

Kementerian Sumber Manusia telah berunding dengan Kementerian Sumber Manusia Singapura, supaya jika hendak dibenarkan pekerja-pekerja pulang ke Malaysia, ianya akan dilakukan secara berperingkat.

"Katakan sekarang ada 20,000 pekerja di Singapura yang nak balik, mungkin kita akan uruskan mereka dari segi kemasukan, mungkin dibuat berperingkat, mungkin 250 atau 300 sehari, supaya kita boleh bersedia dari segi tempat pusat kuarantin dan sebagainya," katanya.

Ismail Sabri berkata, secara purata angka harian menunjukkan kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura lebih kurang 1,900 ke 2,000 sehari, dengan 90 peratus kemasukan itu membabitkan mereka yang terlibat dengan perkhidmatan logistik, iaitu penghantaran barangan segar dan makanan dari Malaysia ke Singapura dan sebaliknya.

Bilangan rakyat Malaysia bekerja dan tinggal di Singapura yang pulang ke Malaysia melalui Johor Baharu, adalah lebih kurang hanya 200 orang sehari.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata setakat ini sebanyak 176 pusat telah beroperasi dan sebanyak 13,528 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, termasuk seramai 593 yang pulang ke tanah air, semalam.

-- BERNAMA