COVID-19: Perkhidmatan kesihatan Sarawak lumpuh jika varian India menular

Bernama
Mei 16, 2021 21:13 MYT
Dalam tempoh dua minggu lepas, bilangan kematian akibat COVID-19 yang dilapor di negeri itu adalah 27 kes seminggu. - Foto BERNAMA
KUCHING: Perkhidmatan kesihatan Sarawak akan lumpuh dengan pantas sekiranya varian COVID-19 dari India iaitu B.1.517.2 menular di negeri ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing.
Beliau berkata setakat ini katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terutamanya di Hospital Sibu dan Hospital Kapit di bahagian tengah negeri, telah berada pada paras kritikal.
"Hari ini 71 kes COVID-19 masih dalam keadaan kritikal di wad ICU termasuk 26 kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dr Chin dalam tempoh dua minggu lepas, bilangan kematian akibat COVID-19 yang dilapor di negeri itu adalah 27 kes seminggu.
Katanya sehingga 15 Mei, nilai kebolehjangkitan atau R-naught bagi Sarawak adalah 0.95 dan ia masih tinggi dengan bilangan kes harian yang belum menurun.
"Justeru, orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali leka dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
#Sarawak #COVID-19 #ICU #unit rawatan rapi #kesihatan #SOP #varian India #Dr Chin Zin Hing #R-Naught #Hospital Sibu