COVID-19: Rakyat Sabah masih dibenarkan masuk Sarawak - Uggah

Syafik Shukri Jalil
September 7, 2020 10:15 MYT
JPBN Sarawak tidak melaporkan pertambahan kes positif baharu menjadikan jumlah kes positif kekal dengan 699 kes setakat ini.- Foto BERNAMA
Rakyat Sabah tetap dibenarkan masuk ke negeri Sarawak ketika ini meskipun berlaku pertambahan kes positif COVID-19 secara mendadak di negeri itu.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan terus memantau situasi semasa di sana, kata Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Kita (JPBN Sarawak) masih memegang dasar bahawa kita membenarkan rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan masuk ke Sarawak.
“Cuma kita akan meningkatkan ujian saringan secara rawak dan pihak JPBN Sarawak akan terus memantau keadaan semasa di sana dari semasa ke semasa,” kata Uggah pada sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Isnin.
Sementara itu, beliau berkata Bintulu hari ini diisytiharkan sebagai zon hijau COVID-19 selepas tidak mencatatkan pertambahan kes positif dalam tempoh 14 hari, manakala Kuching kekal satu-satunya daerah masih dikategorikan sebagai zon kuning.
ANDA MUNGKIN BERMINAT
COVID-19: Kes baharu melonjak kepada 62 kes, sebahagian besar di Kluster Benteng Lahad Datu
COVID-19: 66 kes direkodkan dalam Kluster Benteng setakat ini, kebanyakan libatkan banduan
Sementara itu, katanya JPBN Sarawak tidak melaporkan pertambahan kes positif baharu menjadikan jumlah kes positif kekal dengan 699 kes setakat ini.
Katanya, lima kes dilaporkan pulih dan discaj melibatkan tiga kes di Hospital Bintulu dan dua kes di Hospital Umum Sarawak (HUS) menjadikan jumlah kes pulih dan discaj meningkat kepada 674 kes atau 96.42 peratus.
#Bintulu #COVID-19 #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #JPBN Sarawak #KKM #Kuching #Sabah #Sarawak