PUTRAJAYA :Satu lagi kluster baharu COVID-19 dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Teluk, melibatkan daerah Kota Kinabalu di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 9 dan 10 November 2020.

"Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 27 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Bangunan Kompleks Sukan Likas," katanya dalam sidang media mengenai COVID-19 di sini pada Khamis. 

Sehingga 12 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 128 individu telah disaring, dimana 30 kes dikesan positif COVID-19 (27 kes baharu), 97 individu dikesan negatif dan seorang individu masih menunggu keputusan.

Selain itu, tiga (3) kluster diisytiharkan tamat pada hari ini.

1. Kluster Pulau 

Kluster ini melibatkan negeri Sabah. Sehingga 12 November 2020, seramai 1,036 individu telah disaring di mana 53 kes yang dikesan positif COVID-19 manakala 983 individu lagi adalah negatif. Tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini.

2. Kluster Bah Rose

Kluster ini melibatkan negeri Kedah dan Pulau Pinang. Sehingga 12 November 2020, seramai 563 individu telah disaring di mana 11 kes yang dikesan positif COVID-19 manakala 552 individu lagi adalah negatif. Tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini.

3. Kluster Bah Ketil 

Kluster ini melibatkan negeri Kedah. Sehingga 12 November 2020, seramai 490 individu telah disaring di mana 15 kes telah dikesan positif COVID-19 manakala 475 individu lagi adalah negatif. Tiada kematian dilaporkan bagi kluster ini.