COVID-19: Zahid Hamidi sahkan jalani kuarantin kendiri

Firdaus Azil
Julai 25, 2021 05:48 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak menyatakan beliau memang dijangkiti virus berkenaan atau sebaliknya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sedang menjalani kuarantin kendiri selepas media melaporkan beliau positif COVID-19 hasil ujian saringan di Parlimen pada Jumaat.
Namun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, melalui catatan terbaharu di Facebooknya, tidak menyatakan beliau memang dijangkiti virus berkenaan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, beliau berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang simptom yang tidak diingini.
“Saya faham ramai tertanya-tanya mengenai keadaan saya selepas mendengar berita yang di luar jangkaan. Syukur Alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom tidak diingini.
"Saya tidak mengalami demam, batuk, selesema atau apa-apa gejala lain. Sekarang ini saya menjalani kuarantin kendiri dan bekerja seperti biasa secara dalam talian. Bagaimanapun iltizam saya untuk rakyat dan negara tidak akan sesekali goyah. Insya-Allah,” tulis beliau dalam hantaran itu.
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage
BACA: Tiga Ahli Parlimen positif, empat lagi disahkan kontak rapat
Ahmad Zahid berkata, beliau akan terus berkhidmat dengan kapasiti yang ada dan dalam masa sama memohon sokongan dan doa untuk terus berjuang.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, tiga Ahli Parlimen antara 35 individu yang didapati positif hasil ujian saringan yang dijalankan pada Jumaat.
Kesemua 35 individu berkenaan terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen serta petugas-petugas Parlimen.
Ujian saringan berkenaan diadakan sempena pembukaan Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2021) yang bermula esok (Isnin).
Selain itu, sumber memberitahu, empat lagi Ahli Parlimen disahkan kontak rapat, namun identiti masih belum dapat dikenal pasti.
Susulan kenyataan Ahmad Zahid, beliau hampir pasti tidak dapat menyertai keseluruhan perjalanan Mesyuarat Khas berkenaan yang akan berlangsung selama lima hari, kerana tempoh kuarantin kendiri yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sekurang-kurangnya selama 10 hari.
#Zahid Hamidi #ujian saringan #COVID-19 #kontak rapat #kuarantin kendiri #Dewan Rakyat #Mesyuarat Khas #UMNO #Parlimen #Kementerian Kesihatan