NATIONAL
CPS lancar gerakan nasional lindungi remaja daripada jenayah seksual
Pengerusi CPSKL, Tengku Asra Jehan ketika menyampaikan ucapan pada Program Kewibawaan Remaja: Taklimat Keselamatan Diri & Batas Pergaulan yang berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar. -Gambar CPS
SEREMBAN: Dalam usaha memperkukuh perlindungan terhadap remaja ketika negara berdepan peningkatan kes gangguan seksual dan eksploitasi dalam talian, Children’s Protection Society (CPS Kuala Lumpur) melancarkan Program Kewibawaan Remaja: Taklimat Keselamatan Diri & Batas Pergaulan.
Ringkasan AI
- Childrens Protection Society (CPS Kuala Lumpur) melancarkan Program Kewibawaan Remaja untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai hak dan keselamatan diri mereka.
- Program ini menghimpunkan 90 pelajar dari 15 sekolah menengah sekitar Seremban, serta melibatkan guru-guru, wakil Jabatan Pendidikan, dan aktivis belia.
- CPSKL menekankan pentingnya mendidik pelajar untuk mengenal pasti tingkah laku tidak selamat dan memahami hak mereka agar tidak menjadi mangsa penderaan.
Pengerusi CPSKL, Tengku Asra Jehan berkata, inisiatif ini merupakan permulaan kepada gerakan nasional yang menyatukan komuniti pendidikan, pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai hak serta keselamatan diri mereka.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Kes inses, rogol, buli asrama, dan penggoda dalam talian semakin meningkat. Program ini adalah suara dan tindakan kolektif untuk menghentikan kitaran penderaan,” katanya dalam ucapan pada program yang berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, di sini.
Ucapan pembukaan turut disampaikan oleh Tunku Datuk Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin yang menegaskan bahawa perlindungan terhadap anak-anak bukan sekadar tanggungjawab, tetapi satu amanah yang diwarisi.
“Perlindungan anak-anak kita bukan pilihan. Ia adalah amanah,” tegasnya.
Beliau juga mengenang legasi Almarhum datuknya, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tuanku Ja’afar, yang menurutnya sentiasa meletakkan pendidikan dan kebajikan generasi muda sebagai nadi kepimpinan Diraja Negeri Sembilan.
Program yang menghimpunkan 90 pelajar dari 15 sekolah menengah sekitar Seremban itu turut disertai guru-guru, wakil Jabatan Pendidikan, dan aktivis belia.
Pengarah Projek CPSKL, Tengku Yasmin Nastasha dalam taklimatnya mengupas secara menyeluruh bentuk penderaan — daripada fizikal, seksual, emosi hinggalah penderaan digital — selain memperkenalkan kerangka undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurutnya, pelajar perlu dididik untuk mengenal pasti corak tingkah laku tidak selamat serta memahami hak mereka agar tidak terus menjadi mangsa dalam diam.
Turut berkongsi pengalaman, pekerja sosial veteran CPS Pulau Pinang, Ummadevi Balkerishna yang menceritakan kisah kejayaan bekas pelindung CPS yang kini menamatkan pengajian dan membina kehidupan selepas melalui trauma.
Beliau menegaskan bahawa sokongan, pendidikan dan disiplin mampu memulihkan masa depan remaja yang pernah terabai.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat dari D11 PDRM Negeri Sembilan, Inspektor Azizah Abu Bakar memberi peringatan bahawa penderaan seksual kini turut melibatkan kanak-kanak lelaki dan tidak mengenal latar belakang.
“Hari ini bukan hanya anak perempuan yang menjadi mangsa. Kanak-kanak lelaki juga semakin terdedah. Semua anak perlu dilindungi tanpa mengira jantina,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbuatan menghendap atau stalking kini diklasifikasikan sebagai jenayah di bawah undang-undang Malaysia, dan sering menjadi petunjuk awal kepada kesalahan yang lebih berat.
Menurutnya lagi, mangsa perlu segera melaporkan kepada pihak polis, mendapatkan rawatan di hospital dan memaklumkan kepada orang dewasa yang dipercayai.
Ditubuhkan pada tahun 1991, Children’s Protection Society telah memberi perlindungan, bimbingan psikososial dan peluang pendidikan kepada lebih 3,000 kanak-kanak yang terkesan akibat penderaan, pengabaian dan eksploitasi.
Organisasi itu kini meneruskan kempen advokasi melalui program seperti #JanganSentuhSaya dan merancang untuk memperluas pelaksanaan Program Kewibawaan Remaja ke negeri-negeri lain sebagai langkah jangka panjang memperkukuh kesedaran komuniti.
#CPS Kuala Lumpur
#Program Kewibawaan Remaja Taklimat Keselamatan Diri & Batas Per
#Y M Tengku Asra Jehan
#Y M Tengku Yasmin Nastasha
#Inspektor Azizah Abu Bakar
#gangguan seksual
#remaja
#penderaan