Skip to main content

Malaysia

CPSM seru komitmen bersama perkukuh perlindungan kanak-kanak

Dari kiri: Naib Pengerusi Children’s Protection Society Kuala Lumpur (CPSM-KL), Puan Nawiza Hanoum binti Nazir Ariff; Pengerusi CPSM-KL, Yang Mulia Tengku Dato’ Asra Jehan binti Tengku Tan Sri Azlan; Presiden CPSM, Dato’ Seri Nazir Ariff; Naib Presiden CPSM, Puan Suraya Ibrahim; dan Pengurus Eksekutif CPSM-KL, Ruslieza. - Gambar CPSM
Dari kiri: Naib Pengerusi Children’s Protection Society Kuala Lumpur (CPSM-KL), Puan Nawiza Hanoum binti Nazir Ariff; Pengerusi CPSM-KL, Yang Mulia Tengku Dato’ Asra Jehan binti Tengku Tan Sri Azlan; Presiden CPSM, Dato’ Seri Nazir Ariff; Naib Presiden CPSM, Puan Suraya Ibrahim; dan Pengurus Eksekutif CPSM-KL, Ruslieza. - Gambar CPSM

Advertisement

Ringkasan AI

  • Persidangan Kepimpinan Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 menyeru komitmen bersama memperkukuh perlindungan, hak dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.
  • Persidangan anjuran CPSM bersama WEF dan G100 Global Meet 2026 menekankan empat teras utama: melindungi, memperkasa, mendidik dan melapor demi keselamatan kanak-kanak.
  • National Child Protection Leadership Policy Lab berlangsung pada 15 Oktober mengenal pasti jurang, peluang penambahbaikan dan merangka cadangan praktikal sistem perlindungan kanak-kanak negara.

KUALA LUMPUR: Persidangan Kepimpinan Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 menyeru komitmen bersama yang lebih kukuh bagi melindungi kanak-kanak serta memperjuangkan hak dan kesejahteraan mereka di Malaysia.

Persidangan yang bermula pada 14 Oktober di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), di sini, menghimpunkan aktivis, pengamal dan pihak berkepentingan dalam bidang perlindungan kanak-kanak.

Program anjuran Children’s Protection Society Malaysia (CPSM) Cawangan Kuala Lumpur dengan kerjasama Women Economic Forum (WEF) dan G100 Global Meet 2026 itu bertemakan “Kepentingan Terbaik Kanak-Kanak” atau “The Best Interests of the Child”.

Persidangan itu turut membawa mesej bahawa perlindungan kanak-kanak penting untuk memperkukuh masa depan Malaysia, dengan setiap kanak-kanak perlu selamat, mendapat sokongan dan didengari.

Menurut kenyataan CPSM, presidennya, Datuk Seri Nazir Ariff, menegaskan bahawa tanggungjawab melindungi kanak-kanak tidak boleh dipikul oleh satu organisasi atau institusi sahaja.

Sebaliknya, beliau berkata keluarga, sekolah, komuniti dan pihak berkuasa berkaitan perlu bekerjasama bagi memastikan kanak-kanak dilindungi daripada kemudaratan serta menerima sokongan yang diperlukan.

Beliau turut menekankan keperluan untuk melangkaui usaha meningkatkan kesedaran dengan memperkukuh sistem serta tanggungjawab bersama bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

Persidangan itu memberi tumpuan kepada empat teras utama perlindungan kanak-kanak, iaitu melindungi (Protect), memperkasa (Empower), mendidik (Educate) dan melapor (Report).

Sesi plenarinya merangkumi usaha memperkukuh keluarga dan komuniti, melindungi kanak-kanak dalam dunia yang berubah, mewujudkan sekolah serta ruang yang lebih selamat, selain menambah baik pelaporan, akauntabiliti dan akses kepada keadilan.

Persidangan itu turut mencerminkan komitmen berterusan CPSM melalui kempen Safe Child, Strong Nation yang dilancarkan pada Jun 2026.

Berpandukan empat teras yang sama, kempen itu bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai perlindungan kanak-kanak serta menegaskan peranan setiap pihak dalam menjaga keselamatan mereka.

Sementara itu, Pengerusi CPSM Cawangan Kuala Lumpur, Yang Mulia Tengku Datuk Asra Jehan, berkata kerjasama dengan WEF dan G100 Global Meet 2026 menyediakan platform penting untuk mengetengahkan perlindungan kanak-kanak dalam perbincangan lebih luas mengenai kepimpinan, pemerkasaan dan pembangunan negara.

Menurut beliau, kempen Safe Child, Strong Nation bertujuan menggalakkan lebih ramai pihak memahami bahawa perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama.

Beliau turut menegaskan bahawa kesedaran perlu diterjemahkan kepada tindakan, dengan National Child Protection Leadership Policy Lab menjadi langkah susulan penting untuk mengenal pasti jurang serta membangunkan cadangan praktikal bagi memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam kenyataan bertarikh 14 Oktober itu, CPSM memaklumkan bahawa National Child Protection Leadership Policy Lab dijadualkan berlangsung pada keesokan harinya, 15 Oktober.

Sesi itu menghimpunkan peserta bagi meneliti sistem perlindungan kanak-kanak negara, mengenal pasti jurang dan peluang penambahbaikan serta merangka cadangan praktikal sebagai input kepada pembangunan dasar pada masa hadapan.

Menurut CPSM, inisiatif dua hari itu bertujuan memperkukuh kerjasama dan menyumbang kepada ekosistem perlindungan kanak-kanak yang lebih berkesan, dengan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak menjadi keutamaan dalam proses membuat keputusan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web www.cpsm.org.my atau e-mel [email protected].
 

Must Watch Video

Advertisement