Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 labuhkan tirai, kukuh peranan Malaysia sebagai peneraju inovasi serantau

(Dari kiri) Kellee Kam; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad; Chang Lih Kang; Norman Matthieu Vanhaecke; dan Naib Presiden Universiti Monash Malaysia, Profesor Datuk Faisal Rafiq
KUALA LUMPUR: Persidangan Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 menutup tirainya pada Rabu dengan aspirasi baharu untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memacu ekosistem inovasi dan keusahawanan di rantau ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, berkata Malaysia melalui MOSTI dan agensinya, Cradle Fund, akan terus menerajui usaha memperkukuh hubungan rentas sempadan dan menyelaras dasar bersama bagi membina ekosistem startup ASEAN yang inklusif dan berdaya saing.
Menurutnya, inisiatif Startup ASEAN yang diterajui Malaysia kini menjadi tonggak penting dalam usaha menjadikan ASEAN sebagai hab inovasi global tanpa sempadan.
“Pada Jun 2025, kita mencapai satu lagi detik penting iaitu pelancaran penuh platform Startup ASEAN yang kini menghubungkan lebih 8,600 startup dan lebih 1,700 pelabur di seluruh rantau.
“Kini, dengan penganjuran Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025, kita melangkah ke bab baharu dengan meraikan kemajuan bersama dan meneguhkan tekad menjadikan ASEAN peneraju global dalam inovasi dan keusahawanan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup di Zepp Kuala Lumpur.
Beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk bukan sahaja menjadi penyumbang, tetapi juga penghubung antara pengasas, pelabur dan pembuat dasar di seluruh rantau.

Lih Kang ketika menyampaikan ucapan penutup pada hari kemuncak persidangan Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025 di ibu negara pada Rabu. - Gambar Cradle
“Sebagai sebuah negara, kita komited untuk bukan sahaja menjadi penyumbang, tetapi juga sebagai penghubung. Menghubungkan ekosistem, berkongsi kepakaran dan membina jambatan antara usahawan, pelabur dan pembuat dasar.
“Kerana akhirnya, perjalanan 'startup' ASEAN bukan sekadar mengenai teknologi atau keusahawanan, ia adalah mengenai rakyat untuk mewujudkan perubahan dan memberi impak berkekalan kepada kehidupan,” tambahnya.
Bertemakan Scaling Startups Beyond Borders, persidangan selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari seluruh ASEAN dan dunia, termasuk pengasas startup, pelabur, pembuat dasar, serta wakil sektor awam dan swasta.
Acara itu merupakan antara Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Malaysia di bawah kepengerusian ASEAN 2025, yang meneruskan momentum platform Startup ASEAN bagi menghubungkan dan memperkasa startup serantau.
Turut hadir pada majlis penutupan ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam.
Persidangan turut menyaksikan pelancaran Impact Innovation Lab hasil kerjasama Cradle, Alliance Bank dan Universiti Monash Malaysia untuk menyokong pembangunan startup berasaskan impak, serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cradle dan Kumpulan Sunway.
Dapatkan berita ASEAN 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

