KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengumumkan penggabungan Anugerah, Persidangan dan Pameran Cyber Security Malaysia (CSM-ACE) ke dalam Expo serta Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber peringkat ASEAN, atau Cyber DSA 2023, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 15 hingga 17 Ogos tahun depan.

Beliau berkata ia bakal menyaksikan penglibatan pemain industri siber dari rantau Asia termasuk profesional dalam sektor swasta dan awam selain petugas keselamatan serta ketenteraan yang akan bersidang bagi memacu industri itu ke arah lebih cemerlang.

"Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada CyberSecurity Malaysia kerana berupaya membina reputasi CSM-ACE dan meletakkan asas untuk peningkatannya menjadi acara keselamatan siber yang terkenal dan berprestij di peringkat antarabangsa.

"Saya yakin Cyber DSA akan berjaya dan berupaya membawa satu dimensi baharu dalam proses melestari bidang keselamatan siber di Malaysia," katanya pada Majlis Sambutan Jubli Perak CyberSecurity Malaysia sempena CSM-ACE 2022 di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Annuar juga berkata tema CSM-ACE 2022 iaitu #Cyberhygiene dilihat bertepatan dengan persekitaran siber semasa yang sofistikated, dinamik serta mencabar di peringkat global dan tempatan.

"Ia menjadi asas serta rutin amalan untuk dipraktik oleh organisasi bagi memastikan keselamatan sistem rangkaian mereka sentiasa terlindung daripada ancaman dan serangan siber, meminimumkan risiko gangguan operasi, kompromi dan kehilangan data dengan meningkatkan postur keselamatan seterusnya memangkin proses pendigitalan ekonomi," katanya.

Beliau berkata rakyat juga perlu cakna dan berupaya memeriksa tahap kesihatan rangkaian digunakan, mampu mencipta kata laluan kukuh, membuat sandaran maklumat secara konsisten, mengemas kini dan menaik taraf perisian serta perkakasan termasuk peranti yang digunakan secara berkala bagi mengelak daripada menjadi mangsa ancaman dan serangan siber.

CSM-ACE 2022, yang berlangsung dari 17 Okt hingga hari ini, merupakan acara tahunan CyberSecurity Malaysia berkonsepkan kerjasama awam-swasta merangkumi tiga komponen iaitu Anugerah Keselamatan Siber Malaysia, Persidangan dan Pameran.

Annuar berkata Anugerah Keselamatan Siber Malaysia adalah satu pengiktirafan serta penghargaan kerajaan terhadap sumbangan organisasi global, usahawan kecil dan sederhana tempatan, profesional keselamatan siber serta individu atas sumbangan mereka terhadap bidang keselamatan siber.

Majlis itu meraikan 19 penerima Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2022 sempena CSM-ACE 2022.

-- BERNAMA