KUALA LUMPUR: CTOS IDGuard, yang merupakan sebahagian daripada rangkaian perkhidmatan penipuan dan pengecaman CTOS Digital Bhd, telah membantu mencegah permohonan yang berpotensi menipu bernilai RM319 juta dalam sektor perbankan sejak 2020.

Dalam keputusan bagi tempoh 36 bulan yang dikeluarkan pada Isnin, CTOS berkata CTOS IDGuard telah menyaring hampir tujuh juta permohonan daripada bank-bank ahli, meliputi lebih 65 peratus aset perbankan Malaysia.

"Dengan penipuan dalam talian yang semakin meningkat di seluruh dunia dan pandemik baru-baru ini yang telah mempercepatkan urus niaga dalam talian, kebimbangan sedang dirasai daripada kesan pengembangan penyelesaian digital seperti pinjaman segera, pembayaran masa nyata, penggunaan digital yang didorong oleh pandemik dan khidmat bayaran tanpa sentuhan.

"Pendigitalan yang dipercepatkan turut disertai dengan risiko siber dan penipuan yang makin meningkat, ini dibuktikan di Malaysia apabila berlakunya lebih 55,000 kes jenayah siber dengan kerugian berjumlah RM1.8 bilion dari 2021 hingga Julai 2023," kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Erick Hamburger berkata CTOS IDGuard baru-baru ini melancarkan beberapa penambahbaikan, termasuk pengesanan penipuan yang lebih baik, meningkatkan kecekapan dalam proses penyiasatan penipuan dan risikan tambahan daripada sumber-sumber baharu.

"Kami juga telah menggunakan model pembelajaran mesin yang akan meningkatkan ketepatan dan kadar pengesanan. Penambahbaikan ini penting untuk sektor perbankan dan ekonomi kita memandangkan kewangan digital akan terus berkembang," tambahnya.

-- BERNAMA