Cuaca panas yang melanda negara berikutan fenomena El Nino sejak awal Januari lepas sehingga Mac ini menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes denggi di Malaysia.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani Mudin berkata ini kerana nyamuk aedes akan bertindak lebih aktif untuk menggigit mangsa ketika berada pada cuaca dan suhu yang tinggi.

"Nyamuk aedes akan mengalami perubahan tingkah laku apabila cuaca panas mendorong mereka lebih agresif menghisap darah bagi mendapatkan zat besi dan protein untuk menghasilkan telur," katanya kepada Bernama.

Jelasnya frekuensi nyamuk aedes menggigit mangsa ketika cuaca panas akan meningkat sekali ganda kepada 10 orang sehari berbanding ketika musim hujan iaitu sekitar empat hingga lima orang sehari.

Keadaan cuaca panas dan kering juga menyebabkan kitaran hidup nyamuk aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa semakin singkat iaitu kurang dari tujuh hari, sekali gus menyebabkan populasi nyamuk meningkat.

Bilangan kes denggi yang dicatatkan di negara ini setakat Januari sehingga 5 Mac lepas ialah sebanyak 28,122 kes, meningkat 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 26,609 kes.

Sementara itu, jumlah kematian denggi dicatatkan sebanyak 54 orang bagi JaN sehingga 27 Feb lepas.
Selangor masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 14,226 kes diikuti Johor 4,149 kes, Kuala Lumpur (1,768), Pulau Pinang (1,301) dan Terengganu (1,186) sepanjang tempoh berkenaan.

"Kita kenal pasti 60 peratus kes denggi melibatkan kawasan Lembah Klang yang mempunyai kepadatan penduduk dan Selangor mencatatkan kes terbanyak kerana didorong pergerakan populasi penduduk di sesuatu kawasan.

"Ia berlaku apabila pesakit denggi berpindah ke satu kawasan dan digigit nyamuk lain sehingga menyebarkan virus kepada orang lain di kawasan baharu," katanya.

Beliau turut mengakui kegagalan menjaga kebersihan di tempat berisiko termasuk kawasan kediaman, tapak binaan dan kawasan tumpuan awam seperti taman rekreasi juga menjadi faktor pembiakan nyamuk aedes.