ALOR GAJAH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia memberikan kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk melaksanakan operasi pembenihan awan sekiranya terdapat keperluan berikutan fenomena cuaca panas dan kurang hujan yang melanda negara ketika ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kebiasaannya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terlibat dengan proses pembenihan awan namun setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permintaan terhadap usaha itu.

"Aset udara kita sentiasa dalam keadaan siap siaga tetapi jika ada tuntutan atau permintaan ATM akan memberikan kerja sama...sebelum ini, kita pernah terlibat dengan pembenihan awan di Sabah dan begitu juga di semenanjung, sekiranya ada pihak minta, kita akan bantu.

"Namun pembenihan awan ini juga mengambil kira faktor cuaca semasa juga seperti keadaan awan, angin dan sebagainya baharulah proses itu boleh dilakukan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka bersama menteri itu di Durian Tunggal di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata pihaknya akan mengambil kira beberapa faktor dan keperluan untuk melakukan pembenihan awan bagi memastikan proses berkenaan berhasil memandangkan ia menelan kos yang agak tinggi sekali gus mengelak pembaziran.

-- BERNAMA