MALAYSIA

Cuaca panas dan kering: JPBN Sarawak bersiap sedia - Uggah

Bernama 29/07/2025 | 13:09 MYT
Uggah berkata, pihak NREB juga akan menggunakan teknologi dron untuk memantau sekiranya terdapat asap di kawasan tertentu. - Gambar fail
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di peringkat daerah serta bahagian di Sarawak diminta bersiap sedia dalam menghadapi cuaca panas dan kering ketika ini.

Timbalan Premier yang juga Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pemantauan juga penting kerana cuaca kering dan panas boleh meningkatkan risiko kebakaran serta jerebu.

"Pihak Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) juga akan menggunakan teknologi dron untuk memantau sekiranya terdapat asap di kawasan tertentu.

"Kita juga meminta Pejabat Residen untuk memantau situasi semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Integriti Antarabangsa Borneo 2025 di sini hari ini.

Uggah berkata beliau turut menerima laporan terdapat beberapa kampung di negeri itu mengalami situasi kekurangan air.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak telah diminta untuk mencari penyelesaian.

"Kita juga akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk memantau keadaan khususnya masalah kekurangan air yang merupakan isu serius. Kita perlu memastikan jentera kita bersedia menangani situasi seperti ini," katanya.

-- BERNAMA

#JPBN #Sarawak #cuaca panas #risiko kebakaran #Douglas Uggah Embas