Skip to main content

Malaysia

Cuaca panas: PdPR di Kedah dilanjut jika suhu kekal Tahap 2

51753869498_tbcuacapanasterik.jpg
Pelaksanaan PdPR yang bermula pada hari ini hingga Selasa telah dilaksanakan di daerah Kota Setar dan Pendang selepas kedua-dua daerah itu merekodkan suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut. - Gambar hiasan

ALOR SETAR: Perlaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di daerah Pendang dah Kota Setar akan dilanjutkan sekiranya suhu harian di kedua-dua daerah berkenaan kekal pada Tahap 2 bermula hari ini sehingga Selasa.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat, berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan semasa bacaan suhu harian yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum sebarang keputusan dibuat.

Advertisement

Tambahnya, seramai 86,030 pelajar terlibat dalam pelaksanaan PdPR yang bermula hari ini, merangkumi 65,634 pelajar dari 154 sekolah di daerah Kota Setar manakala 20,396 pelajar dari 52 sekolah di Pendang.

Beliau turut memaklumkan bahawa kemungkinan PdPR akan dilaksanakan di daerah Baling bermula esok sekiranya bacaan suhu yang dicatatkan hari ini berada pada Tahap 2.

"JPN membuat persediaan, sebenarnya semua sekolah terutama sekali guru telah membuat persediaan lebih awal sebab kita telah bagi peringatan berkaitan kemungkinan berlaku penutupan sekolah disebabkan cuaca panas ini mulai hari Rabu minggu lepas.

"(Ini) disebabkan pemantauan yang kita akan buat pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu akan menentukan keputusan pada hari Ahad.

"Tetapi kalau kekal 37 darjah Celsius tiga hari berturut-turut seperti mana yang terdapat dalam Garis Panduan Pengurusan Sekolah dalam cuaca panas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, maka PdPR akan diteruskan," katanya.

Abdul Rahim berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, sekolah berkenaan mengadakan sesi PdP secara hidbrid iaitu secara fizikal bagi pelajar Tingkatan Lima yang tinggal di asrama serta secara PdPR melibatkan pelajar-pelajar lain.

Jelasnya, JPN Kedah turut mengambil maklum berkaitan masalah peranti dan talian internet yang dihadapi sesetengah pelajar terutama melibatkan kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, pihak sekolah telah diarahkan  menyediakan lembaran kerja supaya sukatan pelajaran yang telah disusun dari awal dapat disempurnakan dan dihabiskan mengikut jadual.

 

Must Watch Video