PUTRAJAYA: Semua pengarah pendidikan negeri dan daerah diarahkan untuk mengutamakan peruntukan yang telah disalurkan bagi tujuan penyelenggaraan kipas di sekolah berikutan fenomena cuaca panas ketika ini, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

Beliau berkata arahan berkenaan dikeluarkan dalam sesi libat urus bersama semua pengarah pendidikan pada 3 Mei lepas untuk memastikan fasiliti itu berkeadaan baik dan berfungsi.

"Kita di KPM (Kementerian Pendidikan) sentiasa agihkan peruntukan khusus untuk penyelenggaraan fasiliti sekolah ke peringkat negeri dan daerah bagi memastikan kemudahan seperti kipas berfungsi dengan baik.

"Pesan kita (KPM) kepada pengarah-pengarah pendidikan negeri dan daerah supaya membelanjakan peruntukan terbabit untuk sebarang kerja penyelenggaraan secepat mungkin," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara KPM dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini pada Isnin.

Pkharuddin berkata arahan itu selaras dengan penetapan KPM pada 3 Mei lepas agar pihak sekolah menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah termasuk kokurikulum dan penganjuran sukan tahunan buat sementara waktu berikutan cuaca panas, demi keselamatan warga sekolah termasuk pelajar dan murid.

"Jadi apabila semua berada dalam bangunan sudah tentu aspek pengudaraan dalam kelas perlu kita beri perhatian," katanya.

Media pada Isnin melaporkan fenomena cuaca panas telah mendorong ibu bapa membeli kipas mini elektrik untuk dibawa anak-anak ke sekolah bagi memastikan mereka selesa ketika mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas.

Mengenai kerjasama strategik pembiayaan pendidikan Program Matrikulasi KPM dan YBR, beliau berkata YBR telah bersetuju menawarkan biasiswa kepada 100 pelajar cemerlang lepasan Program Matrikulasi KPM bagi tempoh 2022 hingga 2025.

Jumlah keseluruhan peruntukan terbabit bernilai RM4.7 juta dan dikhususkan kepada pelajar B40 dan asnaf, katanya.

"Pembiayaan ini memberi ruang kepada pelajar cemerlang Program Matrikulasi KPM untuk menikmati tajaan yuran pengajian dan kos sara hidup peringkat ijazah pertama di institusi awam dan swasta dalam negara," katanya.

-- BERNAMA