MALAYSIA

Cuaca semakin baik, kerja pembersihan pasca banjir di Pahang giat dijalankan

Ernalisa Othman 20/12/2025 | 03:20 MYT
Sukarelawan membantu membersihkan rumah, mengalihkan perabot rosak, serta mencuci lumpur, memberi tumpuan kepada warga emas dan keluarga terjejas. - Astro AWANI
KUANTAN: Keadaan cuaca yang semakin baik di beberapa daerah di Pahang membolehkan kerja-kerja pembersihan pasca banjir digiatkan, dengan bantuan sukarelawan daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Ringkasan AI
  • Kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Pahang dipercepatkan dengan bantuan sukarelawan dari pelbagai agensi dan NGO selepas cuaca membaik.
  • Sukarelawan membantu membersihkan rumah, mengalihkan perabot rosak, serta mencuci lumpur, memberi tumpuan kepada warga emas dan keluarga terjejas.
  • Penduduk setempat bersyukur atas bantuan sukarelawan, mempercepatkan proses pembersihan pasca banjir di kawasan terjejas.


Di kawasan terjejas, penduduk dibantu membersihkan rumah, mengalihkan perabot yang rosak serta mencuci lumpur yang ditinggalkan banjir.

Kehadiran sukarelawan amat membantu, terutama bagi warga emas dan keluarga yang mengalami kerosakan teruk.

Sukarelawan Khidmat Malaysia Gabungan Prihatin Anak Watan Terengganu, Zulkifli Rosli Mohd Nor, berkata beliau bersama 40 ahli lain memulakan operasi seawal jam 7 pagi.

“Kami tiba sekitar jam 6 pagi dan terus turun padang. Insya-Allah, kami bantu sebaik mungkin.

"Kehadiran kami diharap dapat meringankan beban keluarga yang terjejas, terutama warga emas. Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat baik dan memudahkan kerja pembersihan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Surau Al-Falah, Kampung Teluk Mahang, Sabtu.

Menurut Zulkifli, pasukannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi melancarkan operasi di kawasan terjejas.

“Hari ini kami sasarkan untuk membantu lebih tujuh buah rumah, dengan keutamaan diberikan kepada warga emas dan surau-surau sekitar,” tambahnya.

Penduduk setempat menyambut baik bantuan yang dihulurkan.

Khairun Abdul Ghani, 75, berkata kehadiran sukarelawan amat bermakna, terutama selepas beliau hampir terjatuh ketika cuba membersihkan rumah seorang diri.

“Semalam saya jatuh sebab cuba bersihkan rumah sendiri. Hari ini, dengan bantuan anak-anak muda ini, kerja jadi lebih mudah,” katanya.

Robaaishah Khaled, 76, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.

“Saya dan suami tinggal berdua. Kami tak mampu nak bersihkan rumah sendiri. Kalau tiada sukarelawan, entah bila rumah ini dapat dibersihkan. Syukur sangat mereka datang,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan pemantauan paras air masih diteruskan bagi memastikan keadaan kekal terkawal.

Orang ramai turut dinasihatkan agar mengutamakan keselamatan semasa melakukan kerja pembersihan dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.





#Kuantan #banjir #bantuan sukarelawan #cuaca baik