MALAYSIA

Cuai tak bawa rakan karib ke hospital, peniaga didenda RM500

Bernama 10/07/2025 | 08:10 MYT
Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu terhadap Oon Tien Yue, 37, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Padah tidak membawa rakan karib yang cedera parah ke hospital sehingga lelaki itu meninggal dunia, seorang peniaga dijatuhi hukuman denda maksimum RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Seorang peniaga, Oon Tien Yue, dijatuhi hukuman denda maksimum RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang kerana cuai tidak membawa rakan karib yang cedera parah ke hospital sehingga mangsa meninggal dunia.
  • Kesalahan dilakukan antara 20 hingga 22 Jun di Pandan Perdana, Ampang, dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda RM500, atau kedua-duanya.
  • Mahkamah menetapkan hukuman penjara sebulan jika denda gagal dibayar, namun tertuduh membayar denda dan merayu hukuman ringan atas alasan menanggung ibu bapa uzur.


Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu terhadap Oon Tien Yue, 37, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Oon, yang membayar denda tersebut, didakwa melakukan kesalahan itu yang membahayakan nyawa pemandu perkhidmatan e-hailing Law Mun How, 37, di sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang dekat sini antara 10.33 pagi 20 Jun lepas dan 7.50 malam 22 Jun tahun sama mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM500, atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang lemah kerana mengalami cedera parah akibat dipukul telah tidur di dalam kereta di hadapan rumah tertuduh selama seminggu sejak 14 Jun dan pada 20 Jun, Oon membawa mangsa ke dalam rumah namun membiarkan lelaki itu di ruang tamu tanpa mendapatkan rawatan di hospital.

Hasil siasatan mendapati Oon cuai kerana membiarkan Law yang cedera sehingga mati.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M. Ramanathan Alias Ashwin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira fakta kes namun Oon, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda ringan atas alasan dia menanggung ibu bapa yang uzur.

-- BERNAMA



#rakan karib maut #rakan cedera parah #kes mahkamah #rakan cuai