MALAYSIA
Cuba lolos dari polis, 3 beranak dicekup bersama dadah
Tangkap layar tular MPV polis mengejar kereta dinaiki suspek di bandar Pontian. -Sinar Harian
PONTIAN: Tindakan sepasang suami isteri warga Indonesia bersama anak perempuan mereka cuba meloloskan diri daripada polis gagal selepas kenderaan yang dinaiki berjaya dipintas di lampu isyarat Jalan Sungai Gurap pada malam Rabu.
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri warga Indonesia bersama anak mereka cuba melarikan diri dari polis tetapi berjaya dipintas di lampu isyarat Jalan Sungai Gurap selepas dikejar sejauh lebih 15 km.
- Polis menemui dadah jenis syabu seberat 8.58 gram dalam kenderaan mereka dan ketiga-tiga suspek dibawa ke IPD Pontian untuk siasatan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan video kejadian tular menunjukkan aksi kejar-mengejar oleh MPV polis.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata, kejadian kira-kira jam 10.18 malam itu menyaksikan tiga kereta peronda (MPV) mengejar sejauh lebih 15 kilometer selama 20 minit bermula dari Jalan Parit Haji Othman di Kampung Seri Bunian.
Menurut beliau, kenderaan jenis Nissan Almera berwarna putih yang dinaiki tiga beranak itu dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak melarikan diri sebaik diarahkan berhenti oleh pasukan peronda polis.
“Tiga unit MPV polis mengejar suspek yang bertindak membuat pusingan-U di Pusat Perdagangan Pontian, sebelum berpatah balik ke arah Rambah dan seterusnya menghala ke bandar Pontian.
“Kenderaan tersebut akhirnya berjaya dipintas dan dihentikan di lampu isyarat Jalan Sungai Gurap tanpa sebarang insiden kemalangan atau kecederaan melibatkan anggota atau orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamad Shofee berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemui dua plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 8.58 gram.
“Suspek lelaki berusia 32 tahun dan isterinya berusia 24 tahun bersama anak mereka berusia dua tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Sebelum itu, tular video berdurasi 38 saat yang menunjukkan MPV polis mengejar kenderaan suspek. -Sinar Harian