Skip to main content

Malaysia

Cuba rampas objek tajam dibawa pelajar, guru cedera di Kuching

Guru yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas pihak sekolah menghubungi perkhidmatan ambulans. - Foto Astro AWANI
Guru yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas pihak sekolah menghubungi perkhidmatan ambulans. - Foto Astro AWANI

Advertisement

KUCHING: Seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di sini cedera ketika cuba merampas objek tajam yang dibawa seorang pelajar sekolah menengah tanpa kebenaran dalam satu kejadian di sekolah itu pada Rabu.

Menurut makluman pihak sekolah hari ini, insiden itu berlaku di kawasan TK4 pada pagi Rabu.

Guru berkenaan kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas pihak sekolah menghubungi perkhidmatan ambulans.

Susulan kejadian itu, pelajar 16 tahun itu segera dikawal sebelum dibawa ke pejabat Pengetua dan kekal di bawah pengawasan sementara menunggu tindakan lanjut.

Pihak polis yang tiba di sekolah telah mengambil alih pengendalian kes, manakala ibu bapa pelajar berkenaan turut dihubungi.

Pihak sekolah memaklumkan tiada kecederaan lain dilaporkan setakat ini.

Dalam pemeriksaan terhadap beg pelajar itu, polis turut menemukan satu barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut, dengan perkara berkenaan kini dikendalikan pihak berkuasa.

Sebagai langkah berjaga-jaga dan atas nasihat polis, pihak sekolah turut mengarahkan penutupan sekolah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan serta memaklumkan ibu bapa supaya mengambil anak masing-masing lebih awal.

Pihak sekolah turut meminta ibu bapa yang tidak dapat mengambil anak mereka dengan segera supaya menghubungi pihak sekolah bagi mengatur urusan berkaitan.
 

Must Watch Video

Advertisement