MALAYSIA

Cubaan berlepas 'fly passport', lelaki Indonesia ditahan di KLIA - AKPS

Bernama 03/08/2025 | 09:15 MYT
Terdapat beberapa cap keselamatan pergerakan keluar dan masuk atas nama lelaki berkenaan bermula 2022 hingga 2025 yang menimbulkan keraguan. - Bernama
PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan petang semalam selepas dikesan memiliki cap keselamatan mencurigakan semasa melalui pemeriksaan imigresen di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan siasatan awal mendapati lelaki itu memasuki Malaysia melalui pintu masuk Pasir Gudang, Johor pada 18 Julai 2022 dan direkodkan keluar dari negara ini melalui KLIA pada 13 Ogos tahun sama.

"Namun begitu, terdapat beberapa cap keselamatan pergerakan keluar dan masuk atas nama subjek (lelaki Indonesia) bermula 2022 hingga 2025 yang menimbulkan keraguan," menurut AKPS dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut melalui Sistem MyIMMs menunjukkan tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk lelaki itu sepanjang tempoh terbabit.

"Hasil keterangannya kepada pegawai penyiasat, lelaki itu mengaku tidak pernahmeninggalkan Malaysia sejak 2022, sekali gus menimbulkan persoalanberkenaan kesahihan cap-cap keselamatan yang terdapat pada pasport miliknya," menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan sebanyak RM4,000 dipercayai dibelanja lelaki terbabit sebagai bayaran untuk mendapatkan cap terbabit.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti dalang bertanggungjawab melakukan aktiviti 'flying' itu dan mengemukakan kes untuk tindakan tatatertib dan kesalahan jenayah bagi pemalsuan dokumen perjalanan atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen lain.

-- BERNAMA

#AKPS #fly passport #lelaki indonesia #cap keselamatan #KLIA